|
Kerajaan Negeri Perak telahpun mengenalpasti projek-projek yang berpotensi berdasarkan kepada perbandingan kos, perolehan sumber semulajadi, industri sokongan dan perkhidmatan yang tersedia di sesuatu kawasan itu.
Industri Kejuruteraan
Pada masa silam, operasi kejuruteraan hanya tertumpu kepada industri perlombongan bijih sahaja. Kemerosotan industri tersebut telah menyebabkan keperluan untuk pengalihan perkhidmatan kejuruteraan ke lain-lain sektor meningkat sesuai dengan permintaan yang sedia ada.
Di antara industri-industri kejuruteraan yang berpotensi untuk dibangunkan adalah pengeluaran alat-ganti kenderaan, pengilangan acuan untuk bahan-bahan plastik dan komponen kenderaan, perkhidmatan penyalutan elektrolisis, dan pengilangan kotak gear serta peralatan-peralatan halus.
Perkakasan Elektrik dan Elektronik
Negeri Perak adalah sebuah negeri yang mempunyai kemudahan infrastruktur serta tenaga kerja mahir dan profesional yang mencukupi untuk membolehkan industri ini berkembang dengan jayanya. Di antara produk-produk yang mempunyai pasaran yang baik adalah papan litar, wayar penyambung aluminium, wayar penyambung emas, manik-manik seramik untuk perintang filem karbon, ketuhar industri, komputer, peralatan berkuasa tinggi, tiub televisyen warna, peralatan khusus dan penyeju-beku untuk kegunaan rumah.
|