Perak bakal jadi pengeluar spirulina terbesar dunia
Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
HAMIDAH (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada wakil salah seorang peserta pameran di Pusat Dagangan Tekno Perak di Ipoh semalam.
IPOH - Sebuah syarikat multinasional dari China telah menunjukkan minat untuk membina sebuah kilang pembuatan makanan tambahan spirulina yang dianggarkan bernilai RM300 juta di Perak dalam tempoh dua tahun akan datang.
Exco Kanan Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, sekiranya rancangan itu menjadi kenyataan, negeri ini bakal menjadi antara pengeluar spirulina terbesar dunia. Bagaimanapun beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai syarikat berkenaan.
Menurutnya, buat masa ini kajian awal sedang diperincikan oleh syarikat tersebut dan Perak dipilih kerana ia memiliki banyak gunung- ganang yang akan memudahkannya membangunkan kilang yang akan menggunakan teknologi penyulingan air gunung.
"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan cadangan tersebut dan kami sentiasa memberi perhatian dan sokongan kepada industri bioteknologi yang akan dimajukan di negeri ini,'' katanya.